Sunday, June 20, 2010

Isu guru kursus hujung minggu tak patut timbul

2010/06/21


KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam ruangan rakan@bh bertarikh 7 Jun lalu bertajuk ‘cuti dua kali Sabtu isu lama. Guru tetap perlu hadiri kursus pada hujung minggu. Fikir-fikirkanlah’.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan surat pekeliling perkhidmatan Bil 3 2005 bertajuk ‘pelaksanaan lima hari bekerja seminggu’ yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2005. Sehubungan itu, mesyuarat permuafakatan pengurusan pendidikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bil 4/2005 bersetuju bahawa, sekolah yang berjaya melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja hendaklah meneruskannya.

Sekolah yang menghadapi kesulitan untuk melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja disebabkan faktor kekangan masa, ruang, kepakaran dan sebab lain boleh menggunakan Sabtu dengan syarat tidak melebihi dua kali Sabtu dalam sebulan.

Oleh itu, isu guru terpaksa menghadiri kursus pada hujung minggu tidak timbul kerana pekeliling berkaitan memberi kelonggaran bagi dua kali Sabtu digunakan dalam sebulan untuk menjalankan program pendidikan jika perlu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Monday, June 7, 2010

KENAPA BAYARAN PENCEN BERBEZA?

PARIT - Perbezaan bayaran pencen antara anggota tentera yang berkhidmat selama 21 tahun dan bersara sebelum 1 Januari 2009 dengan anggota yang berkhidmat dalam tempoh sama, tetapi bersara selepas 1 Januari 2009 menimbulkan tanda tanya.

Seorang pesara tentera, Abas Uda Amat berkata, dia yang bersara sebelum 1 Januari 2009 menerima bayaran pencen kurang daripada anggota tentera yang bersara selepas tarikh itu.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan tanda tanya kerana tempoh perkhidmatan dan pangkat mereka adalah sama, tetapi menerima bayaran pencen berbeza.

“Timbul persoalan apabila kerajaan membuat bayaran pencen mengikut kadar berbeza kepada anggota tentera walaupun tempoh perkhidmatan mereka adalah sama.

“Sebagai contoh, jika gaji akhir saya ialah RM1,000, bayaran pencen yang saya dapat ialah sebanyak RM500, tetapi bagi mereka yang pencen bermula selepas 1 Januari 2009, jika gaji akhir mereka RM1,000, bayaran pencen mereka ialah RM600 iaitu 60 peratus daripada gaji akhir,” katanya.

Abas berkata, dia mahukan penjelasan sewajarnya berkenaan bayaran pencen itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan kepada pesara tentera.

“Saya hanya mahukan penjelasan bagaimana perbezaan itu boleh berlaku sedangkan tempoh perkhidmatan kami sama.

“Adakah perkhidmatan kami tidak diiktiraf berbanding dengan anggota tentera yang ada pada masa kini?” katanya.

Menurutnya, keadaan itu dilihat seolah-olah tidak adil kerana anggota tentera terdahulu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, jika dibandingkan dengan anggota sekarang.

“Kami memang betul-betul berdepan dengan peperangan dan pelbagai masalah untuk menjaga keamanan negara sehingga ada yang tergadai nyawa. Kami bukan mahu disanjung tinggi tetapi tidak mahu dibezakan dengan anggota tentera yang ada sekarang.

“Cukuplah sekadar jasa yang pernah ditabur dulu diingati kerana kami betul-betul berjuang untuk mempertahankan negara,” katanya.

Wednesday, June 2, 2010

NUTP minta mansuhkan pekeliling kerja pada dua hari Sabtu setiap bulan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 agar memansuhkan peruntukan yang membenarkan guru bekerja dua hari Sabtu setiap bulan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata guru juga perlu mendapat lima hari bekerja seperti penjawat awam yang lain dan mendapat hak yang sama rata seperti mereka.


NUTP mendapati ramai guru dipanggil bekerja, mengikuti kursus dan sebagainya pada Sabtu.


Pendirian kami masih tetap mengikut pekeliling yang lama iaitu kerja dari Isnin hingga Jumaat sahaja dan berasakan kaum pendidik seperti dianaktirikan sekiranya perlu bekerja pada Sabtu,” katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.


NUTP turut menggesa supaya pihak pengurusan sekolah tidak meminta guru untuk bertugas semasa cuti penggal persekolahan.

“Perkara ini tidak boleh berterusan kerana guru juga memerlukan masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga .Tindakan memaksa mereka datang bekerja pada hari cuti akan membuatkan guru tertekan sekali gus menjejaskan prestasi mereka,” kata Hashim Selain itu, katanya, guru besar dan pengetua sekolah diingatkan supaya tidak mengadakan kelas tambahan pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agung, Sabtu ini.


“Kita amat kesal dengan tindakan segelintir sekolah yang memaksa guru mengadakan kelas tambahan pada hari berkenaan dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir.


“Mereka bukan saja dipaksa untuk bertugas pada cuti umum malah turut diarahkan mengadakan kelas tambahan pada cuti penggal. Kami berasakan perkara ini sudah melampau,” katanya.


Katanya, NUTP sudah menasihatkan guru sekolah terbabit tidak hadir malah tidak akan teragak-agak untuk mencabar guru besar berkenaan jika mengenakan tindakan terhadap mereka. Selain itu, Hashim berkata NUTP juga mahu kerajaan melihat secara serius mengenai isu penjawat awam wanita yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, tidak menikmati cuti bersalin malah langsung tiada cuti bersalin.


Beliau meminta supaya penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, diberi cuti bersalin yang sama seperti penjawat wanita yang melahirkan anak pertama.

“Kalau seorang wanita tidak diberi cuti bersalin 60 hari apabila dia melahirkan anak keenam, dia akan mengambil cuti satu atau dua minggu kemudian terpaksa bekerja semula. “Ini akan menjejaskan kesihatannya. Dia ambil cuti tanpa gaji bermakna tiada pendapatan. Kenapa kita perlu memberi layanan sebegitu,” katanya sambil menyokong sepenuhnya perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu pekerja wanita harus diberi 90 hari cuti bersalin.