PARIT - Perbezaan bayaran pencen antara anggota tentera yang berkhidmat selama 21 tahun dan bersara sebelum 1 Januari 2009 dengan anggota yang berkhidmat dalam tempoh sama, tetapi bersara selepas 1 Januari 2009 menimbulkan tanda tanya.
Seorang pesara tentera, Abas Uda Amat berkata, dia yang bersara sebelum 1 Januari 2009 menerima bayaran pencen kurang daripada anggota tentera yang bersara selepas tarikh itu.
Menurutnya, perkara itu menimbulkan tanda tanya kerana tempoh perkhidmatan dan pangkat mereka adalah sama, tetapi menerima bayaran pencen berbeza.
“Timbul persoalan apabila kerajaan membuat bayaran pencen mengikut kadar berbeza kepada anggota tentera walaupun tempoh perkhidmatan mereka adalah sama.
“Sebagai contoh, jika gaji akhir saya ialah RM1,000, bayaran pencen yang saya dapat ialah sebanyak RM500, tetapi bagi mereka yang pencen bermula selepas 1 Januari 2009, jika gaji akhir mereka RM1,000, bayaran pencen mereka ialah RM600 iaitu 60 peratus daripada gaji akhir,” katanya.
Abas berkata, dia mahukan penjelasan sewajarnya berkenaan bayaran pencen itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan kepada pesara tentera.
“Saya hanya mahukan penjelasan bagaimana perbezaan itu boleh berlaku sedangkan tempoh perkhidmatan kami sama.
“Adakah perkhidmatan kami tidak diiktiraf berbanding dengan anggota tentera yang ada pada masa kini?” katanya.
Menurutnya, keadaan itu dilihat seolah-olah tidak adil kerana anggota tentera terdahulu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, jika dibandingkan dengan anggota sekarang.
“Kami memang betul-betul berdepan dengan peperangan dan pelbagai masalah untuk menjaga keamanan negara sehingga ada yang tergadai nyawa. Kami bukan mahu disanjung tinggi tetapi tidak mahu dibezakan dengan anggota tentera yang ada sekarang.
“Cukuplah sekadar jasa yang pernah ditabur dulu diingati kerana kami betul-betul berjuang untuk mempertahankan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment