Cadangan guru wajib miliki lesen mengajar perlu penelitian lanjut
2010/05/24
PELBAGAI reaksi timbul berikutan cadangan untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan seperti doktor, peguam, jurutera, akauntan dan arkitek. Alasan dikemukakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ialah bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, memandangkan lesen perguruan itu dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masa Malaysia menimbangkannya secara serius.
Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menyifatkannya sebagai tidak sesuai dilaksanakan kerana memerlukan kos pengurusan tinggi, selain masih ada perkara lain membabitkan pendidikan yang masih belum mencukupi, termasuk prasarana. Bagi NUTP, mewajibkan guru mempunyai lesen bermakna perlu ada badan atau unit khas yang perlu memantau perjalanan kaedah itu, termasuk prasarana.
Sebaliknya, Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) melihat cadangan itu sebagai langkah murni bagi memartabatkan profesion berkenaan. Bagaimanapun, Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik) yang turut menyambut baik cadangan itu, mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan Kementerian Pelajaran sebelum era 1980-an apabila setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah, diwajib mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran.
Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan lesen, guru terbabit secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran. Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga kata Pendidik, berfungsi bagi membatal atau menggantung lesen mengajar seseorang penjawat itu. Kita tidak pasti sama ada prosedur ini masih dipraktikkan atau sudah dimansuhkan. Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) pula mahukan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit dalam profesion itu seperti persatuan guru dan ibu bapa serta pakar akademik, diadakan sebelum cadangan berkenaan dilaksanakan.
Sama ada cadangan melesenkan guru itu baik atau tidak, perlu penelitian lebih lanjut, kerana kelmarin Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa syarat wajib lesen perguruan untuk guru mengajar di negara ini tidak praktikal dilaksanakan kerana kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment