Sunday, June 20, 2010

Isu guru kursus hujung minggu tak patut timbul

2010/06/21


KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam ruangan rakan@bh bertarikh 7 Jun lalu bertajuk ‘cuti dua kali Sabtu isu lama. Guru tetap perlu hadiri kursus pada hujung minggu. Fikir-fikirkanlah’.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan surat pekeliling perkhidmatan Bil 3 2005 bertajuk ‘pelaksanaan lima hari bekerja seminggu’ yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2005. Sehubungan itu, mesyuarat permuafakatan pengurusan pendidikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Bil 4/2005 bersetuju bahawa, sekolah yang berjaya melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja hendaklah meneruskannya.

Sekolah yang menghadapi kesulitan untuk melaksanakan program pendidikan (akademik dan kokurikulum) dalam masa lima hari bekerja disebabkan faktor kekangan masa, ruang, kepakaran dan sebab lain boleh menggunakan Sabtu dengan syarat tidak melebihi dua kali Sabtu dalam sebulan.

Oleh itu, isu guru terpaksa menghadiri kursus pada hujung minggu tidak timbul kerana pekeliling berkaitan memberi kelonggaran bagi dua kali Sabtu digunakan dalam sebulan untuk menjalankan program pendidikan jika perlu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Monday, June 7, 2010

KENAPA BAYARAN PENCEN BERBEZA?

PARIT - Perbezaan bayaran pencen antara anggota tentera yang berkhidmat selama 21 tahun dan bersara sebelum 1 Januari 2009 dengan anggota yang berkhidmat dalam tempoh sama, tetapi bersara selepas 1 Januari 2009 menimbulkan tanda tanya.

Seorang pesara tentera, Abas Uda Amat berkata, dia yang bersara sebelum 1 Januari 2009 menerima bayaran pencen kurang daripada anggota tentera yang bersara selepas tarikh itu.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan tanda tanya kerana tempoh perkhidmatan dan pangkat mereka adalah sama, tetapi menerima bayaran pencen berbeza.

“Timbul persoalan apabila kerajaan membuat bayaran pencen mengikut kadar berbeza kepada anggota tentera walaupun tempoh perkhidmatan mereka adalah sama.

“Sebagai contoh, jika gaji akhir saya ialah RM1,000, bayaran pencen yang saya dapat ialah sebanyak RM500, tetapi bagi mereka yang pencen bermula selepas 1 Januari 2009, jika gaji akhir mereka RM1,000, bayaran pencen mereka ialah RM600 iaitu 60 peratus daripada gaji akhir,” katanya.

Abas berkata, dia mahukan penjelasan sewajarnya berkenaan bayaran pencen itu supaya tidak timbul sebarang kekeliruan kepada pesara tentera.

“Saya hanya mahukan penjelasan bagaimana perbezaan itu boleh berlaku sedangkan tempoh perkhidmatan kami sama.

“Adakah perkhidmatan kami tidak diiktiraf berbanding dengan anggota tentera yang ada pada masa kini?” katanya.

Menurutnya, keadaan itu dilihat seolah-olah tidak adil kerana anggota tentera terdahulu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran, jika dibandingkan dengan anggota sekarang.

“Kami memang betul-betul berdepan dengan peperangan dan pelbagai masalah untuk menjaga keamanan negara sehingga ada yang tergadai nyawa. Kami bukan mahu disanjung tinggi tetapi tidak mahu dibezakan dengan anggota tentera yang ada sekarang.

“Cukuplah sekadar jasa yang pernah ditabur dulu diingati kerana kami betul-betul berjuang untuk mempertahankan negara,” katanya.

Wednesday, June 2, 2010

NUTP minta mansuhkan pekeliling kerja pada dua hari Sabtu setiap bulan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 agar memansuhkan peruntukan yang membenarkan guru bekerja dua hari Sabtu setiap bulan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata guru juga perlu mendapat lima hari bekerja seperti penjawat awam yang lain dan mendapat hak yang sama rata seperti mereka.


NUTP mendapati ramai guru dipanggil bekerja, mengikuti kursus dan sebagainya pada Sabtu.


Pendirian kami masih tetap mengikut pekeliling yang lama iaitu kerja dari Isnin hingga Jumaat sahaja dan berasakan kaum pendidik seperti dianaktirikan sekiranya perlu bekerja pada Sabtu,” katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.


NUTP turut menggesa supaya pihak pengurusan sekolah tidak meminta guru untuk bertugas semasa cuti penggal persekolahan.

“Perkara ini tidak boleh berterusan kerana guru juga memerlukan masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga .Tindakan memaksa mereka datang bekerja pada hari cuti akan membuatkan guru tertekan sekali gus menjejaskan prestasi mereka,” kata Hashim Selain itu, katanya, guru besar dan pengetua sekolah diingatkan supaya tidak mengadakan kelas tambahan pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agung, Sabtu ini.


“Kita amat kesal dengan tindakan segelintir sekolah yang memaksa guru mengadakan kelas tambahan pada hari berkenaan dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir.


“Mereka bukan saja dipaksa untuk bertugas pada cuti umum malah turut diarahkan mengadakan kelas tambahan pada cuti penggal. Kami berasakan perkara ini sudah melampau,” katanya.


Katanya, NUTP sudah menasihatkan guru sekolah terbabit tidak hadir malah tidak akan teragak-agak untuk mencabar guru besar berkenaan jika mengenakan tindakan terhadap mereka. Selain itu, Hashim berkata NUTP juga mahu kerajaan melihat secara serius mengenai isu penjawat awam wanita yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, tidak menikmati cuti bersalin malah langsung tiada cuti bersalin.


Beliau meminta supaya penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, diberi cuti bersalin yang sama seperti penjawat wanita yang melahirkan anak pertama.

“Kalau seorang wanita tidak diberi cuti bersalin 60 hari apabila dia melahirkan anak keenam, dia akan mengambil cuti satu atau dua minggu kemudian terpaksa bekerja semula. “Ini akan menjejaskan kesihatannya. Dia ambil cuti tanpa gaji bermakna tiada pendapatan. Kenapa kita perlu memberi layanan sebegitu,” katanya sambil menyokong sepenuhnya perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu pekerja wanita harus diberi 90 hari cuti bersalin.


Monday, May 31, 2010

2010/06/01

GURU kini dibebani dengan tugas mendidik, perkeranian, pengurusan dan sebagainya. Tidak dinafikan guru kita amat komited dalam menjalankan tugas mereka berpegang kepada apa yang ditetapkan dalam falsafah pendidikan negara.

Perkara pertama, yang ingin saya bangkitkan ialah keadaan kebanyakan bilik guru di sekolah seluruh negara.

Kebanyakan guru adalah berada pada gred DG29 bagi sekolah rendah dan gred gaji DG41 bagi sekolah menengah, namun kemudahan bilik guru berada pada tahap daif.

Selain itu, terdapat bilik guru yang tiada penghawa dingin, susunan meja yang rapat serta sempit, itu belum lagi melihat keadaan perabot serta peralatan yang disediakan.

Jika kita bandingkan dengan pegawai awam lain, mereka menikmati kemudahan tempat kerja yang selesa dalam memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik. Saya lihat staf pentadbiran (N17/N22) di pejabat pentadbiran sekolah lagi selesa daripada guru.

Perkara kedua, berkaitan tugas perkeranian. Saya melihat guru-guru terpaksa menjalankan tugas perkeranian yang begitu banyak termasuklah melakukan kerja-kerja fotostat atau stapler kertas peperiksaan untuk diberikan kepada pelajar.

Perkara ketiga, berkaitan kutipan wang untuk pelbagai program di sekolah. Biasanya setiap guru kelas akan diminta membuat kutipan pelbagai wang untuk aktiviti sekolah seperti untuk kegunaan hari sukan, hari guru dan kad jogaton. Jika murid dalam kelas berkenaan tidak membayar, guru kelas terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan semua kutipan wang kelas yang dijaganya, cukup.

Kemudiannya sebahagian dari guru terpaksa menyediakan kelas tambahan kepada anak-anak murid. tugas ini bukanlah tidak diterima oleh para guru-guru tetapi masalahnya , mereka begitu kesuntukan masa. ini adalah disebabkan selain dari tugas mengajar kelas biasa, mengutip yuran, membuat kerja-kerja pentadbiran, guru-guru juga dikehendakki menghadhiri mesyuarat guru-guru yang kadangkala tu memakan maasa lebih dari satu jam. mesyuarat itu pula mestilah dilakukan selepas waktu mengajar.

Dihar-hari biasa pula, terpaksa menggantikan mana-mana guru yang tidak hadhir ke kelas kerana cuti sakit, cuti sambilan, mengikuti kursus, menghadhiri mesyuarat atau menjalankan kursus.

Dihujung minggu pula kena menyediakan pelbagai program untuk memberi maklumat kepada para pelajar untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam pembelajaran, membina sahsiah atau untuk meningkatkan motivasi.

Kadang-kadang hari mingu atau hari sabtu, para guru dikerahkan oleh guru besar atau pengetua untuk program menceriakan sekolah seperti membuat hiasan, mengecat bangunan sekolah, menanam pokok-pokok bunga dan sebagainya.

Malamnya pula terpaksa membuat persediaan untuk mengajar dan memereksa buku latihan pelajar-pelajar. Pendekkata ada seribu satu tugas untuk para guru di sekolah, sama ada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah

Jadi sudah sampai masanya kajian bebanan tugas guru dibuat untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru itu.

BEKAS GURU,

Sunday, May 23, 2010

Cadangan guru wajib miliki lesen mengajar perlu penelitian lanjut


2010/05/24

PELBAGAI reaksi timbul berikutan cadangan untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan seperti doktor, peguam, jurutera, akauntan dan arkitek. Alasan dikemukakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ialah bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, memandangkan lesen perguruan itu dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masa Malaysia menimbangkannya secara serius.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menyifatkannya sebagai tidak sesuai dilaksanakan kerana memerlukan kos pengurusan tinggi, selain masih ada perkara lain membabitkan pendidikan yang masih belum mencukupi, termasuk prasarana. Bagi NUTP, mewajibkan guru mempunyai lesen bermakna perlu ada badan atau unit khas yang perlu memantau perjalanan kaedah itu, termasuk prasarana.

Sebaliknya, Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) melihat cadangan itu sebagai langkah murni bagi memartabatkan profesion berkenaan. Bagaimanapun, Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik) yang turut menyambut baik cadangan itu, mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan Kementerian Pelajaran sebelum era 1980-an apabila setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah, diwajib mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran.

Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan lesen, guru terbabit secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran. Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga kata Pendidik, berfungsi bagi membatal atau menggantung lesen mengajar seseorang penjawat itu. Kita tidak pasti sama ada prosedur ini masih dipraktikkan atau sudah dimansuhkan. Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) pula mahukan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit dalam profesion itu seperti persatuan guru dan ibu bapa serta pakar akademik, diadakan sebelum cadangan berkenaan dilaksanakan.

Sama ada cadangan melesenkan guru itu baik atau tidak, perlu penelitian lebih lanjut, kerana kelmarin Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa syarat wajib lesen perguruan untuk guru mengajar di negara ini tidak praktikal dilaksanakan kerana kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.


Cuepacs tidak bela semua kategori penjawat awam


2010/05/24

AKHBAR ini pada 20 Mei lalu, melaporkan kira-kira 600,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua akan menerima durian runtuh apabila kerajaan bersedia menyemak tangga gaji bagi membolehkan pendapatan melebihi RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata berdasarkan Model Baru Ekonomi (MEB), kerajaan menetapkan pendapatan rakyat perlu melepasi RM48,000 dan sebagai permulaan semakan gaji dilakukan.

Katanya, semakan ini membabitkan cadangan penghapusan kelayakan akademik Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berikutan ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, ini bermakna kakitangan Kumpulan Sokongan Satu dan Dua seperti pemandu, pembantu tadbir rendah, tukang masak, atendan haiwan, penolong jururawat akan menikmati kenaikan gaji sekali ganda atau sekurang-kurangnya RM1,500.

Apakah sebenarnya hala tuju perjuangan Cuepacs. Saya rasa Cuepacs patut ditukar nama kepada ‘Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Kategori Kumpulan Sokongan.’

Selama ini Cuepacs tidak mewakili semua kategori penjawat awam. Jika kumpulan sokongan menerima gaji minimum RM1,500, apakah gaji permulaan bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan dinaikkan kepada RM3,000. Saya harap Presiden Cuepacs dapat menjawabnya.

WONG KHOO LA,
Kulai, Johor.

CADANGAN LESEN PERGURUAN



SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai cadangan Kementerian Pelajaran iaitu guru wajib mendapatkan lesen perguruan yang menyamai amalan bidang profesional seperti kedoktoran dan undang-undang.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).


Saya berpendapat, sebelum membantah semua cadangan, ada baiknya kita perhalusi rasional cadangan itu. Daripada pandangan kasar, cadangan itu seperti menambah beban guru. Tentu ada guru yang berkata, jika sudah ada ijazah, apa perlunya lesen?
Sudah bertahun-tahun guru melalui NUTP memperjuangkan pelbagai isu perguruan; gaji, bonus, perjawatan dan beban tugas. Bagi saya, isu lesen perguruan membantu menyelesaikan masalah itu pada jangka masa panjang.

Jika perlu mendapat lesen, guru tergolong dalam kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan peguam. Selepas itu, barulah guru tidak boleh disuruh membuat kerja tidak berkaitan kerana sebagai tenaga profesional, mereka harus membuat tugasan berkaitan bidang tugasnya saja, bukan bidang lain seperti perkeranian.

Antara ciri tenaga profesional mereka ialah mereka tidak boleh digantikan tenaga kerja yang tidak terlatih. Pada masa ini, jika NUTP hendak menuntut kenaikan gaji atau meminta bonus, barulah tuntutan itu dianggap munasabah kerana kita memang daripada kumpulan profesional yang bekerja dengan kepakaran masing-masing, bukan lagi melakukan kerja yang hampir semua lepasan universiti boleh lakukan seperti menaip dan menyusun fail.

Mungkin ada isu yang boleh ditimbulkan daripada aspek praktikal, contohnya jika hanya mereka yang ada lesen mengajar di sekolah, tentu bilangan guru berkurangan dengan drastik sehingga menjejas pembelajaran murid kerana guru sandaran tidak terlatih tidak boleh diambil lagi. Jika kelas tiada guru, isu keselamatan pula boleh ditimbulkan ibu bapa.

Tetapi dari segi idea dan dasarnya, isu lesen guru ini membawa kebaikan kepada guru dari segi kebajikan dan kualiti bidang perguruan. Guru juga tentu berasakan perlu untuk meningkatkan mutu kerja untuk menyamai tahap 'profesional' seperti yang dikehendaki.

Bukan saja hal ehwal guru terjaga dengan lebih baik, masyarakat dan murid juga menghormati guru kerana 'bukan semua orang boleh mendidik. Barulah kita dapat mencapai satu daripada teras PIPP iaitu Memartabatkan Profesion Perguruan.

Saya berpendapat, NUTP perlu berfikiran rasional. Bukan semua syarat dikenakan ke atas guru membebankan. Jika ada cadangan yang baik, kita perlu sokong. Mungkin dari segi praktikal dan pelaksanaan, perkara ini masih kabur, tetapi jika ia membawa kebaikan kepada pihak guru, mengapa tidak?

AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai,
Kuala Lumpur.